Tuesday 20 May 2014

Murid lapan tahun maut terjatuh dari tingkat 15

KUALA LUMPUR 19 Mei- Seorang murid lelaki Tahun Dua ditemui mati akibat terjatuh dari tingkat 15 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh berkata, dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, Muhammad Danial Abdullah, 8, murid Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan, Cheras dikatakan sedang bermain di tingkat itu bersama rakannya sebelum terjatuh.
"Tingkat berkenaan sedang menjalani kerja pengubahsuaian sejak minggu lepas. Mangsa dikatakan memanjat tembok dan terjatuh," katanya sambil menambah mangsa cedera parah di kepala dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat murid tersebut dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.- BERNAMA


Monday 5 May 2014

Les'Copaque bangun taman tema Upin & Ipin

Les'Copaque bangun taman tema Upin & Ipin
Syarikat cari rakan kongsi, kumpul dana RM700 j bina projek di Sepang 

Les’ Copaque Production Sdn Bhd, syarikat penerbitan kandungan animasi tempatan, sedang mengumpul dana bagi membangunkan taman tema Upin & Ipin, berkonsep seperti Disneyland di Amerika Syarikat yang sesuai untuk hiburan seisi keluarga. 

Pengurus Pemasaran Antarabangsa, Karyabudi Mohd Aris, berkata taman tema itu yang dijangka membabitkan kos antara RM500 juta hingga RM700 juta itu bakal menjadi mercu tanda populariti animasi Upin & Upin. 

"Kami sedang mencari syarikat yang berminat untuk bekerjasama bagi membangunkan taman tema Upin & Ipin," katanya ketika ditemui selepas Bengkel Kandungan Digital di Kuala Lumpur, semalam. 

Suasana hiba di kediaman anak bongsu Aziz Sattar


CHERAS: Suasana hiba menyelubungi kediaman anak bongsu Allahyarham Datuk Aziz Sattar di Bandar Tun Hussein Onn, di sini apabila adik beradiknya yang datang dari Singapura terlampau sedih sehingga terpaksa dipapah. 

Dua adiknya, Zaini dan Umaiyah tiba pada jam 9.40 pagi manakala seorang lagi saudara terdekat mereka, Aminah yang sampai lebih awal dilihat sudah berada di sisi jenazah sambil ditenangkan saudara mara. 

Seniman veteran itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 89 tahun akibat penyakit jantung di Hospital KPJ Kajang, kira-kira jam 2 pagi tadi. 


Terdahulu, beliau dimasukkan ke wad sehari sebelumnya selepas mengadu sakit dada namun ketika itu keadaannya tidak membimbangkan. 

Anak perempuannya, Sandakiah memaklumkan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn selepas Zuhur. 

Aziz Sattar meninggal dunia

Aziz Sattar meninggal duniaPELAKON veteran, Datuk Abdul Aziz Sattar, 89, meninggal dunia akibat penyakit jantung di Hospital Kajang, di sini, kira-kira jam 2 pagi tadi. - Foto Afendi Mohamed
Kajang: Pelakon veteran, Datuk Abdul Aziz Sattar, 89, meninggal dunia akibat penyakit jantung di Hospital Kajang, di sini, kira-kira jam 2 pagi tadi. 

Anak perempuannya, Sandakiah memberitahu, Aziz menghembuskan nafas terakhir di sisi dua anak, menantu dan seorang cucu. 

"Ayah dimasukkan ke hospital sejak kelmarin selepas diserang penyakit jantung. 


Kami sekeluarga sedang menguruskan jenazah yang akan dibawa pulang ke rumah di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, sebaik dibenarkan pihak hospital," katanya ketika dihubungi BH Online sebentar tadi. 

Sandakiah berkata, pihaknya juga sedang menguruskan pengebumian ayahnya yang dijangka dilakukan pagi ini. 

Gandingan Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Pak Ajis bersama Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham S Shamsuddin sebagai trio Bujang Lapuk menjadi antara watak ikonik dalam dunia senimatik Melayu sejak era 1950an.