Tuesday 1 April 2014

isu semasa

1. Malaysia benam Kanada 3-1
IPOH 17 Mac - Dua jaringan Faizal Saari membantu Malaysia menumpaskan Kanada 3-1 dalam perlawanan pusingan awal kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah di sini, malam ini.
Faizal membuka jaringan Malaysia seawal minit keempat, namun Kanada berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-15.
Pasukan negara bagaimanapun kembali di depan menerusi jaringan Faizal pada minit ke-46, sebelum Ahmad Nasruddin memastikan kemenangan 3-1 di minit ke-66.
Ini adalah kemenangan kedua dicatatkan Malaysia pada kejohanan enam negara itu. Pasukan negara sebelum ini mengalahkan Afrika Selatan 3-2 dan seri 2-2 dengan Korea Selatan. - UTUSAN ONLINE


2. Bas jatuh gaung, pemandu maut dua parah
Oleh ASLIZA MUSA
GOPENG 17 Mac - Seorang pemandu sebuah bas ekspres maut manakala dua penumpang masing-masing seorang lelaki dan wanita cedera parah selepas bas yang dinaiki terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter di Kilometer 301.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 4.25 petang itu, bas yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh gagal dikawal lalu terbabas hingga merempuh pembahagi jalan dan terhumban ke dalam gaung. - UTUSAN ONLINE

3. Bas terbalik, seorang tersepit
Oleh MD. AZRIN ROSLY
BINTULU 17 Mac - Sebuah bas telah terbalik di Jalan Tatau-Bintulu lalu jatuh ke dalam gaung sedalam 20 meter petang ini.
Menurut Pusat Aduan Bomba negeri, difahamkan sembilan mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan pihak bomba namun seorang lagi mangsa lelaki masih tersepit.
Mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Bintulu. - UTUSAN ONLINE

4. MRSM terus martabatkan pendidikan bumiputera
Oleh FARHANA JONI
MUKAH 17 Mac - Pelancaran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mukah hari ini membuktikan kerajaan Pusat dan negeri akan terus memartabatkan peluang pendidikan golongan bumiputera di negeri ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sekolah yang dibina pada 13 April 2006 dan siap pada Februari 2009 dengan kos sebanyak RM80 juta itu akan terus berusaha melahirkan lebih ramai pelajar bumiputera yang cemerlang.
Katanya, agenda pembangunan bumiputera bukanlah perkara baharu malah kerajaan sentiasa mencari pengisian yang terbaik dalam memperkukuhkan lagi kedudukan golongan berkenaan.
"Ini kerana kerajaan menyedari menerusi pendidikan yang sempurna, jurang ekonomi golongan bumiputera yang jauh dengan kaum-kaum lain mampu dirapatkan.
"Atas keyakinan dan kesedaran itu, kerajaan tidak akan berhenti menyediakan kemudahan serta infrastruktur pendidikan di seluruh negara termasuk Sarawak," katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan MRSM Mukah di sini hari ini.
Pelancaran bangunan MRSM Mukah itu diaempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - UTUSAN ONLINE


5. Empat pelajar hilang semasa turun Gunung Bubu
IPOH 17 Mac - Empat pelajar Sekolah Menengah Vokasional Padang Rengas dipercayai sesat ketika dalam perjalanan turun dari Gunung Bubu, Ulu Kenas dekat Kuala Kangsar, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ismail Darus berkata, kehilangan pelajar terbabit yang terdiri daripada tiga pelajar lelaki dan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun itu disedari oleh guru pengiring kira-kira pukul 2.30 petang.
Katanya, pihaknya menjalankan operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.16 malam. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment